Thursday, November 19, 2026

KOLEJ KOMUNITI SELAYANG (LA GAUCHE) MENGUKIR KEJAYAAN DI LOTUS CERIA COOKING CHALLENGE 2026

Bakat, disiplin dan usaha membuahkan hasil. Itulah gambaran kejayaan para pelajar Kolej Komuniti Selayang (KKSY) menerusi pasukan La Gauche dalam pertandingan Lotus Ceria Cooking Challenge 2026 yang menghimpunkan seramai 150 peserta.
Pencapaian ini bukan sekadar tentang pingat dan kedudukan, tetapi menjadi bukti bahawa kesungguhan menjalani latihan, keberanian mencuba serta kesediaan menerima teguran mampu membawa seseorang melangkah lebih jauh.

Antara pencapaian membanggakan ialah:
Elysa muncul antara peserta terbaik dengan meraih:
Silver – Pasta
Bronze – Poultry
Naib Johan Ketiga (2nd Runner-Up) bagi markah keseluruhan daripada 150 peserta.
Lebih membanggakan, pencapaian tersebut melayakkan Elysa untuk bertanding di KL Salon Culinaire 2027, dengan tajaan daripada pihak Lotus.

Turut mengharumkan nama KKSY ialah:
Addie – Bronze (Beef)
Ilyas – Bronze (Salmon)

Setiap pingat mempunyai cerita tersendiri. Ada masa yang dikorbankan, latihan yang berulang kali dilakukan, kesilapan yang diperbaiki dan cabaran yang terpaksa ditempuhi sebelum berdiri di pentas pertandingan.
Bagi pasukan La Gauche, kemenangan ini bukan noktah perjuangan. Sebaliknya, ia adalah satu lagi anak tangga untuk terus memperbaiki kemahiran, membina keyakinan dan mematangkan diri sebagai bakal penggiat industri kulinari.

Jangan terlalu terpaku pada bunga yang sedang mekar, kerana akar yang tumbuh dalam diam itulah yang menentukan kekuatan pohon.

Begitulah perjalanan seorang anak didik. Orang mungkin melihat pingat di tangan, tetapi tidak semua melihat peluh, kesabaran dan pengorbanan di sebaliknya.

Tahniah Elysa, Addie dan Ilyas.
Teruskan merendah diri ketika berada di atas, terus belajar ketika menerima kejayaan dan jangan berhenti memperbaiki kekurangan.
Kerana dalam dunia kulinari, kemahiran mungkin membawa kita ke pentas pertandingan, tetapi disiplin, adab dan sikap rendah hati yang akan menentukan sejauh mana kita mampu pergi.

Terima Kasih buat Keluarga atas sokongan dan dorongan yg kuat selamat ini.

Terima Kasih juga buat Ketua Program, En Kamarul dan pembantu yang hebat iaitu Alysa & Azlan.

La Gauche – bukan sekadar membina juara, tetapi membentuk insan yang tahu nilai sebuah perjuangan.

Saturday, December 6, 2025

LOTUS CERIA COOKING CHALLENGE 2025

PERTANDINGAN MEMASAK LOTUS CERIA  2025


Tahniah Wafi
Kemenangan dalam Pertandingan Lotus dan kejayaan membawa pulang hadiah RM3,000 benar-benar membanggakan keluarga serta mengharumkan nama Team La Gauche. Kejayaan ini bukan hanya milik anda, tetapi juga hasil sokongan dan usaha gigih rakan-rakan yang sentiasa berdiri bersama.

Teruskan melangkah lebih kuat, lebih fokus dan lebih berani. Ini baru permulaan — kejayaan yang lebih besar sedang menunggu

Friday, October 17, 2025

MENARA GADING BUAT YANG SULUNG

Berbekalkan semangat dan doa yang tak pernah putus, hari ini menjadi satu detik bermakna dalam hidup aku sekeluarga — saat kami menghantar anak sulung, Nur Sofia Zahra, ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam untuk menyambung pelajaran dalam jurusan Pengurusan Sukan.

Perjalanan ini bukan sekadar penghantaran Sofia ke menara ilmu, tapi penghantaran amanah — amanah untuk menjadi insan berilmu, berakhlak, dan bermanfaat pada masyarakat. Melihat langkah Sofia melangkah ke kampus dengan beg galas di bahu, hati aku dan Isteri penuh dengan rasa syukur dan bangga.

Aku teringat kisah seorang ulama agung, Imam Al-Shafi‘i, yang merantau jauh dari Mekah ke Madinah untuk menuntut ilmu walaupun ketika itu beliau masih muda. Beliau pernah berpesan:

 “Sesiapa yang tidak merasai kepahitan dalam menuntut ilmu walau seketika, maka dia akan kekal dalam kejahilan selama-lamanya.”

Kata-kata itu seolah-olah berpesan pada aku dan Sofia — bahawa setiap langkah menuntut ilmu itu mungkin tidak mudah, tetapi dari kepayahan itulah lahirnya kekuatan dan kebijaksanaan.

Sebagai ayah, aku hanya mampu memberi doa, bimbingan, dan restu. Tapi perjalanan ini milik Sofia untuk ukir sejarahnya sendiri. Semoga Allah SWT melimpahkan keberkatan pada setiap langkahnya, menguatkan hatinya saat jauh dari keluarga, dan membukakan pintu kejayaan yang luas di dunia dan akhirat.

Ilmu itu pelita, pengorbanan itu jalannya, dan doa ibu ayah itu tiang kekuatannya.
Hari ini, satu babak baru bermula. Dan aku sekeluarga bangga menjadi sebahagian daripada kisah ini. 

RAIKAN HARI LAHIR SAHABAT


Selamat Hari Lahir buat Isteri kepada sahabatku Sharil, Manje 🎉

Petang itu kita raikan detik istimewa buat mereka berdua di Gastro, Le Meridien Kuala Lumpur, dengan penuh makna dan kenangan manis.

Lebih bermakna, hidangan petang itu disajikan hasil sentuhan istimewa JURUMASAK LEGENDA — Chef Sazli Nazim, satu nama besar dalam dunia kulinari negara.

Moga hari lahir ini menjadi permulaan tahun yang penuh keberkatan, rezeki melimpah, dan cinta yang semakin erat.

Wednesday, October 15, 2025

Review Makanan – Restoran di Seksyen 9, Shah Alam

                     Char Kuay Teow

                      Mee Kari Nyonya

Menu dicuba: Char Kuay Teow & Mee Kari Nyonya

Dari segi rasa, kedua-dua menu boleh dikatakan “ok tapi tidak luar biasa”. Char Kuay Teow kurang menonjol aroma “wok hei” yang sepatutnya memberi rasa autentik, manakala Mee Kari Nyonya agak sederhana — kuahnya tidak cukup pekat dan rempahnya kurang “menyengat”. Nilai: 3/5

Dari sudut servis, staf mesra tetapi agak perlahan dalam penyediaan makanan. Untuk menu yang ringkas, masa menunggu agak panjang, terutama ketika pelanggan tidak terlalu ramai. Nilai: 3/5

Untuk harga, agak tinggi jika dibandingkan dengan portion dan kualiti rasa. Dengan harga sedemikian, pelanggan pastinya mengharapkan pengalaman rasa yang lebih “premium”. Nilai: 2/5

Kesimpulan:
Tempat ini sesuai kalau sekadar ingin lepak santai, tapi dari segi rasa dan nilai, masih ada ruang besar untuk penambahbaikan. Kalau mereka boleh perbaiki rasa dan beri servis lebih pantas, potensi restoran ini sangat besar.

Skor keseluruhan: 2.5/5

Tuesday, October 14, 2025

AKU MELATIH BUKAN KERNA NAMA


Tajuk kali ni sudah menceritakan segalanya. Aku anggap diri aku sebagai manusia yang tiada apa2, tapi muncul dengan filsuf Kulinari yang rebel dan cita2 yang luar biasa, boleh dikatakan jarang juga diberikan ruang pada pentas2 elit.

Namun aku Ok dan bahagia dengan apa yang aku lakukan kerana mengajar bukan kerana nama, tetapi kerana tanggungjawab yang dipikul sebagai amanah. Kepuasan sebenar seorang guru bukan pada pujian atau penghargaan, tetapi pada saat melihat anak didik melangkah gagah, berjaya menggapai cita-cita. Anak murid adalah cerminan seorang guru — jika mereka berjaya, itulah tanda ilmu telah sampai dengan berkat dan kasih.

Sebagai pendidik, tugas ini bukan sekadar memberi ilmu, tetapi membentuk hati dan jiwa agar menjadi insan yang hebat. Dalam Islam, setiap ilmu yang diajarkan dan diamalkan oleh murid menjadi pahala yang berterusan untuk gurunya. Itulah keindahan dakwah dalam bidang ilmu.

Moga setiap pelajar terus kuat berusaha, membawa nama baik diri, keluarga dan guru. Ingatlah, kejayaan bukan datang dari jalan yang mudah, tetapi dari kesungguhan, doa dan keberkatan ilmu yang diajarkan dengan ikhlas. 

Monday, October 13, 2025

KELUARGA DAKWAD

Abah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat keluarga tersayang yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam setiap langkah perjuangan ini. 
Buat isteriku tercinta, Hidayah — terima kasih atas kasih sayang, doa, kesabaran dan pengorbananmu yang tak ternilai. Buat anak-anak Abah Sofia, Adam dan Rayyan — kalianlah sumber semangat dan kekuatan Abah setiap hari. Tanpa sokongan kalian, kejayaan hari ini tidak akan bermakna. Terima kasih kerana sentiasa ada dalam suka dan duka
I LOVE YOU ALL ❤️❤️❤️❤️